top of page
Search

Sarawak Metal Titan 2026 kembali gegar pentas 'underground' 11 April Ini

KUCHING: Sarawak Metal Titan (SMT) 2026 kembali menggegarkan pentas muzik bawah tanah pada 11 April depan dengan menghimpunkan barisan pemuzik tempatan berbakat.

Berlangsung di 13 Box K. Bar, MJC Batu Kawa, bermula 4 petang menyaksikan persembahan lapan kumpulan tempatan dari bandar utama di Sarawak serta dua kumpulan jemputan khas dari Kalimantan Barat Indonesia.


Acara ini amat dinanti-nantikan oleh pengunjung metal sejak kali terakhir ia dianjurkan oleh Midlife Crisis Apai Urang dan Extreme Chapter pada Disember lalu.

Menurut penganjur Rudyanto Dyerkraun, acara seumpama ini bukan sahaja memberi platform kepada komuniti muzik dalam mengetengahkan bakat, malah menyumbang kepada ekonomi setempat menerusi sektor pelancongan, perhotelan dan pengangkutan.

Katanya, ia secara tidak langsung membuka ruang kepada pemuzik dan penganjur acara untuk mendapatkan sokongan kewangan, sama ada daripada kerajaan atau syarikat swasta.


“Beberapa negara Asia seperti China, Taiwan, Thailand, Filipina malah Indonesia berjaya mengangkat festival metal sebagai sebahagian daripada kalendar pelancongan rasmi masing-masing.

“Salah satu faktor kejayaan festival di negara jiran ialah penganjurnya sendiri terdiri daripada metalhead yang mempunyai visi jelas, bukan sekadar kapitalis yang mementingkan keuntungan semata-mata,” katanya. Rudyanto turut menyentuh persepsi negatif masyarakat dengan muzik metal yang sering dikaitkan dengan imej berpakaian hitam dan berambut panjang. Katanya, stigma tersebut semakin berkurangan kerana kebanyakan peminat dan pemuzik metal kini terdiri daripada individu berkerjaya dengan disiplin serta ketahanan mental yang tinggi.


Malah pemimpin dunia seperti mantan Presiden Indonesia Joko Widodo dan ahli politik Jepun Sanae Takaichi juga pernah dikaitkan dengan minat muzik rock dan metal, sekali gus menunjukkan bahawa muzik ini merentasi pelbagai latar belakang.



“Persembahan muzik metal secara langsung merupakan medium terbaik untuk meluahkan tekanan dan kemarahan secara sihat serta terkawal.


“Dalam muzik metal, tiada diskriminasi sama ada dari segi genre lagu, status sosial, pekerjaan mahupun kaum. Ia hanyalah seni untuk melepaskan tekanan,” ujarnya.

Edisi kali ini menampilkan band black metal dari Kuching, Kebes, sebagai penampil utama.


Tahun lalu, SMT menampilkan band death metal Senseless, manakala tahun ini giliran peneraju muzik black metal diberi penghormatan untuk menggegarkan pentas.

Ditubuhkan pada 2010, Kebes yang membawa maksud “mati” dalam dialek Bidayuh Biatah semakin mendapat perhatian apabila berjaya menembusi pasaran Semenanjung Malaysia awal tahun ini.


Kumpulan itu juga aktif mengadakan persembahan di seluruh Sarawak sejak penubuhannya.


Turut beraksi pada malam tersebut ialah Dangdur (Bintulu), Haram Jadah (Sibu), Baksidik (Sibu), Dire Crown (Miri), Breathe in Ocean (Kuching), Rotting Century (Kuching), serta dua kumpulan jemputan dari Kalimantan Barat iaitu Moral Deviation dan Sindevourer.

Sarawak Metal Titan merupakan hasil kerjasama Midlife Crisis Event dan Box13 Karaoke Bar. Menariknya, acara ini tidak mengenakan sebarang tiket masuk sebagai tanda sokongan komuniti muzik tersebut.


Dengan barisan kumpulan yang mantap serta semangat komuniti yang kuat, SMT 2026 dijangka sekali lagi menjadi platform penting dalam memartabatkan muzik metal di Bumi Kenyalang.


 
 
 

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating

Follow us on:

  • TikTok
  • Facebook
  • Instagram
  • YouTube
  • Spotify

© 2025 by Breathe In Ocean. All Rights Reserved. 

bottom of page